Entri 9: Bebas (Pilihanraya Universiti)

Pilihan raya kampus adalah satu proses demokrasi di mana undian digunakan untuk memilih calon yang sesuai untuk mewakili suara mahasiswa . Ia merupakan suatu mekanisme demokrasi untuk memilih calon yang sesuai untuk memenuhi jawatan-jawatan Majlis Perwakilan Pelajar.Oleh itu,sesebuah organisasi memerlukan barisan pemimpin bagi mewakili mereka dalam membuat keputusan, menjaga kebajikan, mengangkat suara-suara mahasiswa yang diwakili atas sesuatu isu dan pelbagai lagi. Manakan mungkin sebuah universiti yang berkapasiti 6 000 ke 10 000 orang malahan lebih dari itu tidak mempunyai para pimpinan mereka sendiri. Di sinilah letaknya peranan pilihanraya kampus bagi memilih barisan kepimpinan mewakili mahasiswa-mahasiswa ke peringkat pengurusan tertinggi universiti. Justeru, pilihanraya kampus mungkin boleh dijadikan kayu pengukur kesediaan mahasiswa dalam berpolitik walaupun ia tidak merangkumi keseluruhan politik itu sendiri.

Dalam mencapai perlaksanaan satu pilihanraya kampus secara menyeluruh, terdapat 3 komponen utama yang terlibat secara langsung iaitu mahasiswa, calon barisan kepimpinan dan sistem pilihanraya itu sendiri. Tiga komponen ini mesti bergabung dan harus sentiasa dipantau keberkesanannya bagi memiliki sebuah perlaksanaan pilihanraya yang adil serta telus dan seterusnya dapat mendidik mahasiswa ke arah pendidikan politik yang benar. Mencuplik kata-kata Dato Saifuddin Abdullah di dalam blog beliau yang bertarikh 1 Julai 2009, beliau melihat golongan belia mempunyai cara dan imaginasi tersendiri terhadap partisipasi dalam berpolitik. Ini bermakna golongan belia khususnya mahasiswa mampu mengoptimumkan potensi politik mereka melebihi ahli-ahli politik sekarang jika pendidikan politik yang diberikan tidak bersifat berat sebelah atau bersifat kepartian murahan.

Justeru, keberkesanan tiga komponen utama tersebut hendaklah dilihat dari aspek kesedaran mahasiswa memilih pemimpin yang adil, kesedaran calon-calon pilihanraya terhadap tugas dan amanah dalam kepimpinan dan keadilan tentang sistem pilihanraya kampus. Keberkesanan dalam tiga komponen ini saling bergantungan antara satu sama lain dalam melahirkan seorang pemimpin yang berintegriti dan berdiri di atas paksi kepimpinan yang waja. Ia juga mungkin boleh dikatakan satu proses menyediakan golongan muda bagi menerajui negara ke arah pembangunan yang lebih kondusif meliputi aspek nilai dan material.


Pengundian Pilihan Raya Kampus UPM Berjalan Lancar - Semasa | mStar


Comments