Entri 14: Percutian Keluarga

    Sudah lama aku dengan keluargaku tidak bercuti. Ditambah pula dengan musim wabak COVID-19 ini kami lebih memilih untuk meluangkan masa bersama di rumah. Kami sekeluarga mempunyai hobi yang sama iaitu bersiar-siar menghirup udara yang segar. Masakan tidak bosan kami duduk di rumah hampir lima bulan tidak kemana-mana.

    Awal bulan tujuh yang lalu, ayah bersuara untuk bercuti ke Cameron Highland. Cameron Highland merupakan destinasi yang selalu kami lawati sebelum ini. Boleh dikatakan dalam setahun lebih dari 7-8 kali kami bercuti di sana. Kadang-kadang kami hanya pergi ke Cameron Highland, tidur di dalam kereta berhadapan masjid yang terletak di sana. Kemudian bersarapan dan pulang terus ke rumah tanpa lewati tempat-tempat yang lain.

    Percutian kali ini agak berbeza apabila ayah meminta kami untuk menempah hotel untuk tidur semalaman. Ini adalah kali pertama kami menempah hotel sebagai tempat membuai mimpi kami kerana sebelum ini kami berlima hanya tidur di dalam kereta sahaja.

    Kami pergi pada hari minggu, jadi kebanyakan hotel sudah penuh. Di saat kami mula putus harapan, aku teringat akan junior pernah menceritakan bahawa keluarganya mempunyai bisnes perhotelan muslim di Cameron Highland. Aku segera menghubunginya dan alhamdulillah ada tinggal satu bilik kosong buat kami.

    Hampir pukul 6 petang kami tiba di tempat penginapan kami di Cameron Highland kerana kami bertolak dari kampung kami, Sekinchan Selangor. Perjalanan mengambil masa yang lama kerana kesesatan lalu lintas dan cuaca yang tidak baik.

    Sampai di hotel tersebut, kami menunggu sehingga lepas waktu Maghrib dan bersiap-siap keluar untuk mencari makan Malam. Pada malam tersebut terdapat pasar sabtu Cameron Highland yang menjadi tempat perlancongan di situ, tetapi disebabkan hujan lebat turun kami membatalkan niat kami untuk pergi ke sana dan mencari makanan berdekatan hotel sahaja.

Kedai Ikan Bakar yang kami pergi semuanya penuh ditambah pula dengan keadaan ayahku yang sedang dalam sakit kaki akibat Gout. Disebabkan itu, beliau tidak boleh berjalan jauh. Kemudian kami tiga beradik berpecah mencari tempat makan pada malam itu. Ibu menemani ayah kerana ibu mempunyai penyakit athma dan sensitif pada cuaca sejuk. Ditambah pula, dengan hujan yang lebat pada malam itu. Setelah beberapa minit, adik lelakiku menghubungi kami dan menjumpai tempat makan sesuai. Walaupun menunya tidaklah semewah ikan bakar tadi, tetapi ia dapat menjadi alas perut kami semua. Ini kerana menu yang disediakan di kedai tersebut hanyalah Nasi kukus dan ayam berempah. Tetapi disebabkan nasi tersebut masih panas dan kami makan bersama ketika waktu hujan, rasanya terus menjadi sedap sehinggakan ayah menambah nasi tersebut buat kali kedua.

    Selepas makan, kami meredah hujan yang lembat dan kembali semula ke bangunan hotel kami. Di bawah bangunan hotel tersebut terdapat deretan kedai dan salah satunya kedai yang menjual kaktus. Kami membeli 8 kaktus untuk dibawa pulang nanti sebelum balik ke bilik.

    Pagi itu kami bersiap awal untuk mengelakkan kesesatan lalu lintas di hadapan hotel kami. Pukul 7.30 kami checkout hotel dan kereta mula kelihatan banyak di atas jalan. Pada asalnya, kami mahu bersarapan di ladang teh sambil melihat pemandangan yang cantik. Tetapi risikonya apabila kami mahu naik semula keatas, kami akan berhadapan dengan kesesatan lalu lintas yang teruk. Lalu ayah hanya membawa kami untuk bersarapan di gerai yang pernah beiau pergi sewaktu aku masih kecil.

    Selepas bersarapan aku melihat tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Cameron Highland melalui internet. Lalu kami sekeluarga untuk melihat kambing biri-biri secara dekat di The Sheep Sanctuary. Tiket masuk ke tempat ini bagi dewasa RM 8.00. Harga tiket termasuk dengan harga makanan kambing biru-biri yang boleh ditebus di kaunter dalam. Pada awalnya, kami sangat takut untuk mendekati kambing biri-biri tersebut kerana ianya datang meluru ke arah kami di pintu masuk. Lama-kelamaan kami sudah biasa dengan keadaan itu. Apabila memegang kambing biri-biri tersebut, badan mereka akan bergetar secara tiba-tiba. Kita juga dapat merasakan bulu kambing biri-biri itu bagaimana. Ini adalah kali pertama aku merasakan pengalaman itu, apabila sudah sedikit berasa selesa,tiba masanya pula kami memberi makan kepada kambing biri-biri tersebut. Makanannya diletakkan di dalam kotak kecil. Semua pengunjung akan dapat kotak tersebut. Kambing biri-biri itu akan menerpa secara berkumpulan apabila kita ianya melihat kita memegang kotak tersebut. Pengalaman kedua yang dapat aku rasakan kambing biri-biri makan di atas tangan kecilku. Terasa geli pada awalnya kerana kita akan merasakan lidah mereka menjilat di atas tangan kita. Disebabkan itu, sebelum masuk ke ladang tersebut kita dikehendaki untuk sanitasi tangan kita terlebih dahulu. Dan dikehendaki untuk sanitasi selepas keluar dari ladang tersebut. Ayah juga berasa teruja dengan pengalaman itu. Ibu hanya memerhatikan kami di ruangan atas kerana beliau takut kain baju kurung beliau ketika itu terkena tahi kambing.







    Seterusnya kami pergi membeli belah di Pasar Kea Farm. Sebelum masuk ke pasar tersebut, kami dikehendaki untuk menyemah suhu badan terlebih dahulu. Di hadapan Pasar Kea Farm itu terdapat deretan kedai yang banya. Ibuku gemar membeli jus Strawberi, buah Strawberi dari kedai tersebut kerana ianya produk muslim dan perusahaan orang islam. Kami juga membeli aiskrim strawberi susu dari kedai tersebut kerana yakin pada bersihnya pembuatan aiskrim itu.



    Sebelum balik, kami mahu pergi ke Ladang Teh Boh tetapi hala tujuan kami berubah apabila melalui simpang ke arah ladang teh tersebut dan Mossy Forest. Dari dulu ayah menyimpan hasratnya untuk pergi hutan tersebut diiktiraf sebagai salah satu hutan tercantik di dunia. Dalam masa yang sama ibuku membantah cadangan ayah kerana jalan ke hutan tersebut tidak berapa elok yang akan mengakibatkan kerosakan tayar kereta selain kereta jenis four wheels. Namun begitu ayah tetap meneruskan perjalanan ke kawasan tersebut. SubhanAllah ini antara pemandangan yang tercantik pernah aku lihat. Pemandangan sepanjang perjalanan sebelum sampai ke Mossy Forest tersebut adalah ladang teh yang luas terbentang. Adakalanya pula, jalan di situ agak menyeramkan akibat kabus tebal yang menutupi jalan. Jalan di situ juga bersimpang siur dan sempit. Dan di bawah itu adalah gaung. Sesiapa yang mempunyai banyak pengalaman memandu sahaja boleh melaluinya, jika tidak anda terpaksa berpatah balik di separuh jalan. Setibanya di atas, suhu mencecah hampir 14 darjah celcius. Terdapat ramai pelancong berkulit putih dan pengembara ekspedisi serta pendaki. Tiket untuk memasuki hutan tersebut berjumlah RM 10 bagi orang dewasa. Kami semua memakai baju 2 lapis kecuali ibu dan ayah. Oleh kerana ibu hanya memakai baju kurung dan tidak tahan sejuk, aku memberikan baju sejuk tersebut pada ibuku. Manakala ayah pula, kulitnya mampu menahan kesejukan itu. Ramai orang yang memuji ayah ketika di atas kerana beliau hanya memakai jersey lengan pendek sahaja. Ketika di atas semua orang memanggil ayah dengan gelaran pak haji termasuklah pelancong berkulit putih kerana beliau kelihatan sedikit berusia dan memakai kopiah. Di atas lagi satu keajaiban ciptaan Allah yang membuatkan aku kagum. Dalam benak fikiran ku bagaimanakah sesuatu tumbuhan ini hidup ketika ianya berada dekat awan. Di sini aku hanya boleh cakap, pemandangan di situ sungguh menakjubkan. Tidak hairanlah hutan ini dianugerahkan sebagai hutan tercantik di dunia. Rugi bagi sesiapa yang pergi ke Cameron Highlands tidak melawat hutan ini. 






    Mossy Forest menjadi destinasi terakhir kami sebelum pulang ke rumah kami. Ketika balik, ayahku menggunakan jalan dalam yang wujud perkampungan orang asli di situ. Mereka menjual durian hutan dan ini kali pertama kami seluarga makan durian hutan. Durian Hutan mempunyai biji yang besar dan isi sedikit tetapi rasanya sangat sedap. 

    Pada waktu Maghrib kami selamat tiba di rumah kami yang terletak di Banting Selangor:). Sesungguhnya pengalaman percutian kali ini memberi kenangan terindah buat kami sekeluarga.






Comments

  1. hai maaf bertanya. kat mana tempat sesuai nak date ya? sebab saya dengan tuan post nak date erm

    ReplyDelete

Post a Comment