Entri 6: Pengalaman membaca buku kreatif

Buku pertama yang telah membuatkan air mata saya menitis adalah buku kepunyaan sasterawan negara iaitu Keris Mas yang berjudul Darah dan Air Mata. Buku ini mempunyai 245 halaman bercetak dan ia merupakan kumpulan cerpen pilihan hasil karya Keris Mas.

Saya mula membaca buku tersebut pada usia saya 10 tahun. Pada ketika itu, saya terpilih menjadi tokoh nilam peringkat negeri Selangor. Kami dikehendaki untuk menyertai kem nilam yang terletak di Tanjung Rhu, Sepang. Disebabkan pada ketika itu ada aktiviti membedah buku, guru bimbingan saya mencadangkan agar membaca karya Keris Mas ini kerana beliau merupakan seorang sasterawan negara.

Pada awalnya, saya agak keberatan memilih buku ini kerana saya seorang suka menilai buku berdasarkan kulit hadapannya sahaja. Buku Darah dan Air Mata ini adalah buku pertama yang berjaya membuka mata saya agar tidak menilai sesebuah buku berdasarkan kulitnya semata. 

Terdapat pelbagai cerpen yang menarik dalam buku tersebut tetapi yang masih segar di ingatan saya adalah cerpen darah dan air mata itu sendiri. Ia berjaya membuatkan saya mengalirkan air mata melihat pengorbanan perajurit Malaya yang berani berkorban untuk negara tercinta dan terdapat juga kisah yang menyayat hati antara perajurit dan jururawat di Palang Merah yang bernama Julia yang membuatkan kisah cerpen ini terkesan di lubuk hati.

Sebelum ini saya hanya gemar membaca novel terbitan PTS One dan salah seorang penulis yang saya gemari adalah Ain Maisarah. Apa yang boleh saya simpulkan, membaca novel karya sasterawan negara membuatkan pemikiran kita matang dan sentiasa berfikir. Manakala membaca novel yang santai, membuatkan kita sentiasa berimaginasi. Oleh itu, budaya membaca harus diterapkan dalam diri masyarakat agar masa depan generasi muda lebih cerah.












Comments